Selasa, 21 Disember 2010

SEJARAH RINGKAS PEKAN BIDOR, PERAK


Bidor adalah sebahagian dari pemerintahan Kerajaan Gangga Negara yang dipercayai menerima pengaruh Hinduism dan Budhhaism sekitar 900 tahun (kurun 8/9)yang lampau dibawah pentadbiran Kerajaan Bruas.Pengaruh Hindu dan Budhha ini telah dapat dibuktikan dari patung berhala agama Hindu/Budhha bertangan lapan diperbuat dari logam gangsa, kini patung tersebut ada tersimpan di Muzium Negara, di temui semasa pembukaan kawasan perlombongan pada tahun 1936.

Arca Gangga Negara Patung Berhala Hindu-Budhha
di Muzium Negara Bertangan Lapan (tetapi satu telah patah) ditemui
di Bidor pada 1936

Bidor telah menjadi penempatan bagi Orang-orang Melayu kebanyakannya berasal dari Sumatera Barat yang berketurunan Rao, yang  berhijrah kesini melalui Pelabuhan Telok Anson (Teluk Intan)  serta menyusuri Sungai Perak dan Sungai Bidor, terus membuka kawasan penempatan baharu di jajaran sungai.Di sini mereka dan keluarga bermastautin dan ada juga yang berkahwin dengan penduduk tempatan Bidor ketika itu.

Pekan Bidor (antara bangunan lama dan baharu)


Penempatan Melayu pertama di Bidor adalah di sebuah kampung yang dikenali sebagai Kampung Gedong.Akhirnya penempatan tersebut ditinggalkan kerana mereka membuka penempatan baharu di pinggiran pekan di jajaran sungai bermula dari awal 1940an.Orang yang mula-mula membuka penempatan Bidor adalah Syeikh Abdul Ghani yang berasal dari Sumatera dan beliau adalah merupakan Penghulu Pertama Pekan Bidor.Semasa beliau menjadi Penghulu penempatan baharu Masyarakat Melayu semakin berkembang.Aktiviti perlombongan, perladangan getah yang dibuka oleh Orang Inggeris pada masa itu telah banyak menggamit kehadiran Orang Cina berketurunan Hakka dan Kantonis serta keturunan India berhijrah ke Bidor.

Mesin peleburan bijih timah ada yang mengatakan mesin untuk melebur pasir menjadi kaca,
lokasinya kini di Sekolah Men. Syeikh Abdul Ghani Bidor.

Bidor merupakan pengeluar bijih timah ketika itu, maka pekan ini memperolehi namanya dari bekas acuan bijih yang dinamakan Bidor.Disini juga terdapat pelabuhan kecil yang dinamakan Tongkah Harbour, bijih timah dari aktiviti perlombongan dibawa ke sini untuk dihantar ke pelabuhan Telok Anson (Telok Intan) melalui tongkang atau kapal kecil untuk dipunggah ke kapal yang lebih besar dan dihantar ke Singapura.Pada tahun 1950an Perak ketika itu dibawah pemerintahan Sultan Salehudin, Sultan Perak yang ke 9, aktiviti perlombongan berkembang rancak di kawasan Kinta dan Larut, Bidor tidak terlepas dari kesan aktiviti  perlombongan menyebabkan pekan Bidor berkembang dari semasa kesemasa. 

Rumah Kongsi pekerja Tongkah Harbour masih kukuh di Bidor


Aktiviti pelabuhan ini terhenti apabila kemajuan pengangkutan darat mengambil alih laluan sungai dan aliran sungai Bidor juga  turut dipindahkan dari aliran asal kerana aktiviti perlombongan maka Tongkah Harbour ditinggalkan sepi hari ke sehari.Kesan peninggalan Tongkah Harbour masih kelihatan dikawasan sekitar Kelinik Bidor, dan rumah kongsi pekerja pelabuhan (dermaga) masih berdiri kukuh dan tertulis nombor rumah tersebut dengan siri TH iaitu Tongkah Harbour.

Kawasan bekas perlombongan

Begitu jugalah nasib aktiviti perlombongan kerana harga pasaran timah dunia jatuh menyebabkan pengusaha tidak dapat bertahan disamping tiada kawasan baharu untuk melombong juga menjadi punca penutupan aktiviti perlombongan ini.Walaupun aktiviti perlombongan kapal korek ini berakhir namun masih terdapat kesan peninggalan seperti kongsi pekerja yang telah bertukar status menjadi penempatan Batu 4, Jalan Telok Intan untuk bekas pekerjanya. Tempat ini dahulu dikenali sebagai Bidor Malayan Tin yang aktiviti terakhirnya pada akhir tahun 1970an.Kini banyak kawasan bekas perlombongan ini telah bertukar menjadi kawasan perumahan dan perkampungan tersusun.

Tapak Tongkah Harbour


Pada Perang Dunia Kedua pada tahun 1941, Bidor tidak terlepas dari menerima kesan peperangan itu Banyak juga berlaku pertempuran antara tentera British, MPAJA dan Jepun.Pada tahun 1946 setelah kekalahan Jepun, Bristish telah masuk semula ke Tanah Melayu yang mengakibatkan perebutan kuasa antara Parti Komunis Malaya ketika itu dengan Kerajaan British.Tentera British telah menubuhkan pasukan Special Constable (SC) dan dibantu oleh tentera British dari keturunan Gurkha, untuk mengekang kegiatan komunis ini.Ramai juga dikalangan pegawai tentera British, tentera dan SC yang terbunuh ketika itu.



Tapak Kubu peninggalan British

Pada tahun 1946 melalui Pesuruhjaya British di Malaya ketika itu telah mengarahkan wakilnya untuk menempatkan Orang-orang Cina yang tinggal berselerak di penempatan baharu di kem-kem penempatan khas bagi tujuan keselamatan.Kem-kem penempatan di Bidor adalah seperti Kem Kampung Baharu Tanah Mas, Kampung Baharu Pekan Pasir, Kampung Baharu Bidor,Kampung Baharu Bidor Stesen, Kampung Baharu Coldsream dan Kampung Baharu Kuala Bikam.Mereka ditempatkan dalam satu kawasan serta diawasi oleh pasukan  Special Constable (SC) dan Home Guard

Balai Polis lama Bidor

Orang-orang Bidor pada masa sebelum Malaysia (Malaya ketika itu) turut sama berjuang menuntut kemerdekaan dari tangan British dan mereka juga sama-sama menentang Malayan Union. Terdapat  juga penduduk Bidor yang telah ditahan oleh Pentadbiran British ketika itu dan diletakkan dibawah akta keselamatan, antaranya adalah Allahyarham Arshad bin Shaari.Selepas Malaya ( Malaysia) mendapat kemerdekaan dari Kerajaan British pada 31.8.1957 Bidor tidak terkecuali menikmati kemajuan dan pembangunan dari semasa ke semasa.













2 ulasan:

nasilemaksrichandan berkata...

lagi terbaek dari tok wan,ndak juge tahu asal usul tempat saye dibesorkn maklum le masa sekolah dulu2 x der info tentang bidor ni,tapi mase saye sekolah kt sr seri bidor dulu slalu tertanye2 mengenai padang belakang sek,ade tapak rumah disebelah pokok beso,rumah yg ade tulis th tu memang hari2 melewatinya sebelah rumah tu ade rumah kawan yg ayah dia satu jabatan dgn ayah saya,jabatan hutan,begitu juga kereta perisai yg ade kt smsag rope2nyer dandang pembakar,jenuh jugak nk memikiokn ape fungsi kereta perisai itu sebab beroda macam kereta kuda.syabas tok wan moga2 ade lg penjelajahan info dari tok wan untuk kami..

TOKWAN MATARUN berkata...

tw rajin bertanya org2 lama yg masih ada, dan tw rajin menulis kat buku2, bile semak2 ada lagi catatan tu, maka tw tulis le semula...tw masih ingat Allahyarham Osman bin Ali yg selalu bercerita pd tw.Sebagai org lama yg mula2 melibatkan diri dengan kerja2 perlombongan dan Tongkah Harbour, dialah menceritakan alat itu bukannya utk melebur bijih kerana teknoloji melebur bijih hanya di Singapura ketika itu, entah lah...oh pernah tinggal kat kuarters tu ye... Tongkah Harbour dikalangan org lama memanggilnya 'Tongkah Haba' sbb mungkin mereka kurang tahu menyebut istilah bahasa inggeris ketika itu.Kalo x silap tw ada sebuah rumah lagi kesan peninggalan tongkah habour betul2 di belakang kuarters JPH Bidor tu. Skrg rumah JPH tu pun rasanya tiada berpenghuni lagi..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...